Thursday 21 November 2013

Muktamar Dewan Ulamak PAS Bermula!


Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke-52 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), secara rasmi membuka tirainya kira-kira jam 9.20 pagi ini.

Acara pembukaan Muktamar kali ini dimulakan dengan bacaan doa pembukaan oleh Naib Ketua Dewan Ulamak Datuk Dr Mahfodz Mohamad sebelum muktamirin diperdengar alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari jemputan Ustaz Tarmizi Ali.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Muktamar Dewan Ulamak, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Datuk Tuan Guru Harun Taib.

Ucapan Dasar Ketua Dewan Ulamak bagaimanapun dibacakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Hari ini, kira-kira 600 perwakilan Dewan Ulamak akan membuat pemilihan dan pengundian bagi mengisi 13 jawatan ahli jawatankuasa dewan itu.

Tiada pengundian bagi jawatan tertinggi dewan, termasuk Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Ulamak kerana kesemua jawatan tersebut telah dimenangi tanpa bertanding seperti tahunntahun sebelum ini.

Jawatan Ketua Ulamak PAS kekal disandang oleh Datuk Tuan Guru Harun Taib, Timbalan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Naib Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

0 comments:

Post a Comment