Sunday 20 January 2013

3 Syarat Berhimpun Dilanggar!! Mat Sabu Bakal Ke Bukit Aman!! #KL112



Kertas siasatan berhubung pelanggaran tiga daripada 27 syarat perhimpunan anjuran parti pembangkang di Stadium Merdeka minggu lepas, dijangka siap minggu depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata laporan itu dijangka siap selepas polis mengambil keterangan penganjur himpunan yang juga Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semalam.

"Selepas ini, mungkin akan ada lagi individu yang dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kepolisan Komuniti anjuran JSJ (D7) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Sabtu.

Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan melebihi 30,000 orang.

Ditanya sama ada peserta yang membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun akan dipanggil memberi keterangan, Mohd Bakri berkata buat masa ini, polis melihat perkara itu dari sudut tanggungjawab penganjur berkaitan syarat yang telah dipersetujui.

"Kemudian baru kita akan lihat sama ada perlu atau tidak untuk memanggil individu berkenaan," katanya.

Mengulas kes dua tahanan yang masih bolos di Pulau Pinang, Mohd Bakri berkata polis telah mendapat petunjuk berhubung lokasi suspek bersembunyi hasil kerjasama orang ramai.

"Maklumat orang awam banyak memberi petunjuk sehingga tertangkapnya tujuh daripada sembilan suspek itu, dan kini kita telah mengesan lokasi baki dua suspek tersebut," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Dua tahanan itu ialah Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39. Dalam kejadian dua minggu lepas, sembilan tahanan dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul serta menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas berhampiran van itu, yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi, iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati selepas cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu, Bukit Mertajam.

Polis juga menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, yang menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abd Rani, 26, pula ditahan di sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment