Thursday 3 January 2013

Laksanakan Segera Projek Langat 2!! 500,000 Seksa Nak Tadah Air!!


KUALA LUMPUR - Sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah juta isi rumah di sekitar Lembah Klang terpaksa menghadapi krisis bekalan air yang dijangka berlarutan selama seminggu sehingga Selasa depan.
Gangguan bekalan air yang melibatkan pengguna di daerah Gombak dan sebahagian kawasan di Kuala Lumpur itu berpunca daripada kegagalan sistem pam di dua lokasi berasingan iaitu di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.
Rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti mencecah 220 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti asal reka bentuk sebanyak 136 JLH manakala rumah pam Pudu Hulu Baru pula gagal berfungsi ekoran kerosakan papan suis utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat mulai hari ini dan pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari memandangkan kawasan yang terlibat dengan krisis air kali ini agak besar.

 "Setelah kerja memperbaiki pam yang rosak selesai hari ini (semalam), kita jangka tempoh baik pulih penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat akan mengambil masa.
"Ini memandangkan kekurangan bekalan rezab bekalan air sedia ada telah hampir pada paras kosong dengan permintaan harian di ibu kota, Selangor dan Putrajaya sebanyak 4,400 JLH berbanding bekalan sebanyak 4,436 JLH," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan mendakwa kelewatan kerajaan Selangor membangunkan sistem pengepaman tambahan baharu di rumah pam Wangsa Maju menjadi antara punca gangguan bekalan air di kawasan itu.
Menurutnya, sistem pengepaman sedia ada terpaksa diuruskan di peringkat melebihi tahap keupayaan sehingga projek berkenaan siap sepenuhnya akhir tahun ini.
"Pihak Syabas telah mengemukakan cadangan membina sistem itu kepada kerajaan pada tahun 2009 dan pelan pembangunan projek serta pinjaman itu telah diluluskan pada Mac tahun lalu.
"Namun sehingga kini, kita difahamkan projek tersebut masih lagi di peringkat rundingan reka bentuk oleh kerajaan Selangor dan dijangkakan projek itu akan mengambil masa setahun untuk disiapkan jika dilaksanakan pada kadar segera," katanya.
Ruslan berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh kerajaan Persekutuan atau projek lain yang dicadangkan kerajaan Selangor perlu dilaksanakan dengan segera bagi menyelesaikan krisis bekalan air di negara ini dalam jangka masa panjang.
"Sistem pengepaman tambahan sekarang ini hanya bersifat penyelesaian jangka pendek," ujarnya. - Kosmo

0 comments:

Post a Comment